"Bila Allah memakbulkan doamu, makaDia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Oleh itu, sentiasalah kita bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan-Nya. "

Thursday, October 1, 2009

ukhwah dengan ALLAH



Kita selalu sebut ukhuwwah dengan manusia. Kita ungkapkan sukma persahabatan dalam keadaan terindah dan tertinggi bahasanya. Apa-apa sahaja berkenaan dengan ukhuwwah membuatkan manusia gembira. Asas ukhuwwah adalah cinta. Dan asas cinta adalah keimanan. Itu membuatkan manusia senang sentiasa.

Asas cinta adalah keimanan. Maka mudahnya asas ukhuwwah juga sebenarnya adalah keimanan. Kepada siapa lagi kita hendak beriman kalau bukan kepada Allah SWT? Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi, yang memberikan kita nikmat kehidupan dalam keimanan, ukhuwwah danm silaturrahim ini.

Siapakah yang merasa, ukhuwwahnya dengan manusia, punya pertalian yang kuat, dengan ukhuwwahnya dengan Allah SWT.

Ukhuwwah dengan Allah SWT?

Di sini, kita perlu duduk sebentar dan muhasabah.


“Akan kuredah lautan api, kupanjat puncak everest tertinggi, semuanya untuk dikau wahai kekasih hati”

Ada orang menyebut kata-kata ini kepada pasangannya. Ada juga yang berkata begini kepada sahabatnya. Ada juga yang melafazkan kata-kata ini kepada ibu bapanya. Namun siapakah yang melafazkan perkara ini kepada Allah SWT?

Manusia memandang ukhuwwahnya dengan manusia lain, tanpa merasakan bahawa ukhuwwahnya itu, perlu melalui Allah SWT dahulu, barulah ukhuwwahnya menjadi ukhuwwah yang benar dan kuat. Namun, kerana lemahnya manusia, tidak mampu melihat yang ghaib, dan hanya yakin pada yang nyata semata, menyebabkan manusia pantas menghubungkan dirinya dengan manusia lain, tetapi sukar membina hubungannya dengan Allah SWT.

Di sinilah keimanan memainkan peranan. Iman mampu membuatkan kita ‘merasai’ apa yang ghaib. Allah, Malaikat, Syurga, Neraka, hatta Rasul kita yang telah wafat meninggalkan kita risalah-Nya. Kita beriman dengan semua itu tanpa ragu-ragu walaupun kita tidak melihatnya. Dengan keimanan inilah sebenarnya, kita mampu membina hubungan kita dengan Allah SWT, seterusnya menjaga hubungan kita dengan manusia. Sebab itu, Allah SWT apabila membicarakan perihal persaudaraan, Allah SWT menyebut:

“Sesunggunya orang beriman(mu’min) itu bersaudara…” Ayat 10 Surah Al-Hujurat.

Allah tidak kata manusia, Allah tidak kata orang Islam semata. Allah kata, orang yang beriman.

Dalam ceramahnya pada malam 27 Ramadhan di Jordan ini, Dr Towalbeh ada menyatakan bahawa, hubungan manusia dengan Allah SWT, akan meningkatkan lagi keeratan ukhuwwah manusia dengan manusia yang lain.

Allah SWT membenci orang yang takabbur.

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”- Surah Al-Israa’ ayat 37

Dr Towalbeh menyatakan bahawa, sesiapa yang takabbur, sebenarnya dia telah memutuskan ukhuwwahnya dengan Allah SWT. Maka mari kita lihat, apakah rentetan dari ketakabburan di dalam hati manusia, kepada manusia lain. Apakah hubungan manusia dengan manusia akan menjadi baik, jika salah seorang, atau keduanya bersikap membesar-besarkan diri dan tidak mahu bertolak ansur?

Tidak. Tidak sama sekali. Apabila ukhuwwah dengan Allah rosak, jangan diceritakan pula ukhuwwah yang benar dan bersih sesama manusia.

Dr Towalbeh berkata: “Sebab itulah wahai manusia, anda perlu menghayati ibadah zakah. Zakah adalah manifestasi ukhuwwah yang tertinggi. Bayangkan anda memberikan duit anda, untuk diterima oleh saudara seakidah anda, tanpa anda mengenali penerimanya. Siapakah yang memampukan anda untuk berbuat sedemikian rupa? Allah. Keimanan anda kepada Allah, dengan merasakan zakat adalah tanggungjawab anda kepada Allah yang perlu anda langsaikan, menyebabkan anda bergerak mengeluarkan harta anda untuk saudara anda yang tidak anda kenali. Bukankah ini ukhuwwah yang tertinggi? Ukhuwwah anda dengan Allah, menggerakkan anda berhubungan, memberi bantuan kepada manusia yang lain. Maka manusia, apakah anda melakukan ibadah zakat anda? Ketahuilah di dalam zakat ada makna ukhuwwah yang besar. Janganlah sesekali anda menganggap ianya hanya ibadah Ramadhaniah semata-mata”

Dr Towalbeh juga menyatakan bahawa, manusia-manusia yang tamak turut merosakkan ukhuwwahnya dengan Allah SWT. Apakah kehidupan orang yang tamak? Berbaik-baikkah dia dengan manusia lain? Tidak. Tetapi orang yang tamak, hidupnya penuh hasad dan dengki. Dia ingin mengaut keuntungan dan keuntungan lagi. Akhirnya orang yang tamak ini, merosakkan silaturrahimnya dengan manusia lain, untuk mendapat keuntungan. Disabotajnya perniagaan orang lain dan dimusnahkan pula kehidupan orang lain hanya untuk memuaskan dirinya.

Di sini, kita dapat melihat betapa ukhuwwah manusia dengan Allah SWT, merupakan jambatan kepada hubungan yang tulus dan ikhlas antara manusia dengan manusia yang lain.

Mustahil untuk manusia yang benar-benar merasakan keterikatan dirinya dengan Allah SWT, untuk mengkhianati saudara seIslamnya. Mustahil untuk manusia yang benar-benar faham akan hubungannya dengan Allah SWT, untuk menjauhkan saudaranya dari kehidupannya. Kerna manusia yang berhubungan dengan Allah, dia faham bahawa hubungannya dengan manusia lain adalah amanah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” Surah Al-Anfal ayat 27.

Maka bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Bagaimana ukhuwwah kita dengan Dia?

Pernahkah kita terfikir betapa kita ini memerlukan segala-galanya daripada Dia?

Andai kalau nak projek, kita perlu merapati yang berkuasa, kenapa bila kita hendakkan sesuatu dalam kehidupan ini, kita tidak meminta kepada Yang Mempunyai Segala-galanya? Adalah amat menjelekkan kita mampu melukut pada manusia yang tidak mempunyai apa-apa, tetapi kita tidak tunduk dan meminta kepada Allah Yang Memegang dan Mencipta Segala-gala. Dari hubungan dengan Allah lah, datangnya kejayaan hakiki, datangnya kebahagiaan suci, datangnya hubungan yang terbina dengan keikhlasan sepenuh hati.

Ukhuwwah anda dengan Allah SWT. Bagaimana?

Motivasi dari: Hilal Asyraf

>>> sedikit komentar tentang tajuk kali ini

Ukhwah dengan ALLAH, pada sy ia sinonim dengan(HabilumminaALLAH, Habilumminannas: Jaga hubungan dengan ALLAH, Jaga hubungan dengan manusia). Bila mana kita menjaga hubungan dengan ALLAH, insyaAllah kasih sayang manusia itu akan datang kepada kita. Tapi janganlah salah niat pulak, kita nk jg hubungan dengan ALLAH sebab nk org sayang kita. Janganlah begitu, itu adalah hadiah buat kita dari Allah swt.Cukuplah ALLAH bagi kita..cintaNya sangat manis dan membuatkan kita bahagia jika ia hadir dalam diri kita. Wahai hamba-hamba Allah, Kita hidup ini untuk mencari cinta Ilahi dan mencari RedhaNya, kita nk jg hubungan dengan manusia jg untuk mencari redhaNya..
Carilah cinta Nya dlm kembara hidup kita yg semakin hampir kepada negeri akhirat yg kekal abadi..Moga kalian berjaya menjadi Hamba yg dikasihi Allah..

No comments: