"Bila Allah memakbulkan doamu, makaDia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu maka Dia ingin mengujimu, bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Oleh itu, sentiasalah kita bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan-Nya. "

Monday, December 21, 2009

Motivasi: Saya Di Selaputi dosa Ingin Keluar..Tetapi..




Berusaha, jangan putus asa, hingga hujung nyawa

Satu perkara yang sering diajukan kepada saya adalah berknaa ingin keluar daripada lumpur dosa. Ya, ramai sebenarnya yang ingin berubah. Tetapi mereka tidak tahu apa yang mereka patut lakukan. Ada pula yang hatinya telah diketuk dengan kesedaran, tetapi dosa-dosanya yang banyak membuatkan dia merasakan dirinya tidak terampun.

Kita rasa diri kita kotor dengan dosa. Kita ingin keluar. Tetapi kita tidak tahu bagaimana.

Kita telah berusaha untuk keluar, berkali-kali mencuba, tetapi gagal juga, kita rasa kecewa.

Apakah tiada cara untuk kembali kepada-Nya?

Kita tertanya-tanya.

Untuk saya, selagi kita tidak berputus asa, selagi itulah ruang untuk menggapai keampunan Allah terbuka. Ya, selagi kita tidak berputus asa.

Pesan mudir saya

Sebelum saya ke Jordan, antara perkara yang saya paling takutkan adalah dosa. Saya risau jika saya tidak lagi tinggal di sekeliling guru-guru yang boleh menegur, tidak lagi bersama rakan-rakan yang boleh menasihat, dan apabila saya terjerumus ke dalam dosa, tiada siapa lagi boleh menarik angkat saya.

Maka saya bertanya kepada mudir MATRI, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.

“Ustaz, kalau seseorang itu, jatuh dalam lembah dosa, kemudian bertaubat, kemudian dia terjatuh kembali, kemudian dia bertaubat, kemudian dia terjatuh lagi, dan berkali-kali perkara itu berulang, dosa itu tidak mampu dia tinggalkan, bagaimana ustaz?”

Ustaz Dahlan menjawab dengan tenang ketika itu:

“Usaha lagi. Jangan putus asa. Berapa kali terjatuh pun, bangun balik, bertaubat kepada-Nya. Jangan putus asa”

Ringkas. Pesanannya sangat ringkas.

Jangan putus asa.

Yang kemudiannya saya belajar

Kemudian, apabila saya berada di Jordan, saya ada mengambil satu mata pelajaran bernama Hadyi An-Nabawi Fil Adab Wa Ar-Riqaaq. Bermaksud Petunjuk Nabawi Dalam Adab dan Pelembut Hati. Kitabnya terbahagi kepada dua. Pertama Adab, kedua Riqaaq.

Di dalam Kitab Ar-Riqaaq, terdapat satu bab bertajuk:

Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah Walau Telah Membunuh 100 Orang

Di bawah tajuk itu, terdapat satu hadith yang mungkin biasa kita dengar. Hadith itu mafhumnya begini:

Dari Abu Said Al-Khudri radhiallahuanhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Dulu sebelum kalian ada seorang lelaki yang membunuh sembilan puluh sembilan orang, sehingga dia bertanyakan tentang orang yang paling alim di kalangan penduduk bumi. Mereka menunjukkannya kepada seorang rahib (ahli ibadah), kemudian orang tersebut mendatanginya dan berkata bahwa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Rahib tadi berkata: “Tidak.” Orang itu lalu membunuhnya, sehingga genap menjadi seratus orang. Kemudian dia bertanya tentang penduduk bumi yang paling alim. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia berkata kepadanya bahawa dia telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada kesempatan baginya untuk bertaubat? Orang alim tersebut menjawab: “Ya! Dan siapakah yang mampu menghalang antaramu dengan taubat. Pergilah ke negeri ini dan itu, kerana di sana ada orang-orang yang beribadah kepada Allah Ta’ala. Beribadahlah bersama mereka, dan jangan kembali ke negerimu karena negerimu adalah negeri yang jelek.” Kemudian orang itu pergi tetapi di tengah-tengah perjalanan dia meninggal. Lalu malaikat rahmat dan malaikat adzab saling berselisih tentangnya. Malaikat rahmat berkata: “Dia datang dalam keadaan bertaubat, menghadap Allah.” Malaikat azab berkata: “Dia belum beramal shalih sama sekali.” Kemudian datanglah kepada kedua malaikat itu seorang malaikat dalam bentuk manusia. Mereka (kedua malaikat itu) menjadikannya sebagai pemutus urusan mereka. Malaikat itu berkata: “Ukurlah antara dua negeri tersebut. Mana yang lebih dekat (jaraknya dengan kedua negeri itu) maka itulah lebih berhak.” Mereka kemudian mengukurnya. Ternyata mereka dapati bahwa dia (orang yang mati itu) lebih dekat ke negeri yang baik. Maka malaikat rahmat mengambilnya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dahulu, saya pernah terbaca juga hadith ini. Tetapi dahulu sekadar terbaca. Saya dahulu berkata, lelaki itu hakikatnya bernasib baik kerana dia mati dalam jarakk yang lebih dekat pada negeri yang baik, sebab itu dia akhirnya masuk syurga. Tetapi, hakikat hadith itu rupanya bukan sedemikian. Pensyarah saya, Dr Muhammad Al-Hawari yang memang terkenal sebagai antara pakar hadith di Yarmouk berkata:

“Kenapa hadith ini menyertakan sekali perihal jarak antaara lelaki itu dengan kampung kebaikan? Hal ini kerana, Allah hendak menunjukkan bahawa Dia telah mengampunkan lelaki ini atas usahanya bergerak ke arah taubat tadi. Allah lah yang mendekatkan jarak kampung kebaikan itu pada lelaki itu”

Ketika ini, mata saya terbuka.

Teringat pesanan mudir saya.
from: langitilahi.com
Usaha, jangan putus asa.

Allah kepada kita

Allah, Tuhan kita. Dia, langsung tidak sama dengan apa yang ada dalam fikiran kita. Tidak akan mampu kita bayangkan-Nya, walaupun pembayangan kita amat hebat. Hal ini kerana, kita adalah makhluk, dan kita hidup dikelilingi makhluk, maka seluruh pemikiran kita tidak akan mampu menggapai apa yang bukan makhluk.

Sebab itu, keampunan Allah SWT, yang Allah SWT katakan amat luas itu, tidak akan mampu kita bayangka keluasannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Allah menulis pada atas arasy-Nya: Sesungguhnya rahmatku mendahului kemarahan-Ku” Riwayat Bukhari.

Di dalam riwayat lain, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya rahmatku, lebih luas daripada kemarahan-Ku”

Inilah dia harapan yang Allah berikan kepada kita. Dia bukannya tidak tahu kelemahan yang ada pada hamba-hamba-Nya. Dia meluaskan keampunan-Nya agar kita hamba-Nya ini tidak berputus asa. Agar kita tidak berputus asa mendekati-Nya, kembali kepada-Nya, memohon ampunan-Nya.

Di dalam satu hadith qudsi, Allah SWt berfirman:

“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Lihatlah. Berapa kali tersungkur pun, seandainya kita terus-terusan berusaha mendekati Allah SWT, dalam keadaan penuh sesal da haarapan menggunung untuk meinggalkan dosa kita, dengan penuh sangka baik bahawa Allah akan mengampunka dosa kita wallau 1000 kali tersungkur jatuh, insyaAllah keampunan Allah SWT adalah milik kita.

Masalahnya, berapa gigih kita berusaha untuk mendapatkan keampunan-Nya?

Penutup: Allah pesan – Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah

Bagi manusia yang beriman, melakukan dosa tanda imannya terganggu. Tetapi, itu bukan menandakan keimanannya tiada. Cuma resmi manusia lalai dan alpa, kadangkala kelalaiannya amat kronik hingga terheret melakukan dosa.

Tetapi, antara beza orang beriman dengan orang yang tidak beriman adalah, apabila dia berbuat dosa, dia tidak akan melengah-lengahkan taubatnya. Dia tidak akan putus asa dalam taubatnya.

Anda, yang merisaukan diri anda berkenaan dengan dosa yang anda ada sekarang, tandanya keimanan anda masih bergetar.

Maka saya berpesan kepada diri saya dan diri anda, janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. Allah sendiri berfirman:

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” - Az-Zumar ayat 53.

Di dalam ayat lain, Allah memberitahu kepada kita bahawa Nabi Ya’kub berpesan kepada anak-anaknya:

“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -Surah Yusuf ayat 12.

Maka bergeraklah. Bergerak dan jangan putus asa.

Jangan berhenti.

Terus mencari keampunan-Nya, dengan usaha, bukan harapan sahaja.

Friday, November 20, 2009

KETENANGAN HATI

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.

Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

* Dimensi kata, rasa dan tindakan

Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

* Rasa kehambaan.
* Rasa bertuhan.
* Memahami maksud takdir.
* Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

* Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

* Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

* Memahami maksud takdir Allah.

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

* Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

from: ustaz Pahrol Muhd Juoi

ALLAH SAYANG KAMU !!!!

SUKA SAYA MEMBACA ARTIKEL DARI HILAL ASYAF KALI INI..JOM KITA BACA PERKONGSIAN NYA..

Mungkin saya boleh kongsikan beberapa perkataan pendek yang saya suka ulang untuk happy-happykan diri saya. Ya la, saya ni manusia juga. Ada masa terjatuh sungkur juga. Dan saya tidak suka kejatuhan. Maka, apabila saya jatuh, akan saya usaha motivasikan diri saya.Oh ya, nantikan esok, cerpen saya terbaru.

Bila saya lemah semangat untuk meneruskan perjuangan, saya akan kata:
“Kalau kau jatuh, macam mana dengan masa hadapan ummah? Kau adalah penjuru-penjuru Islam, dan musuh menyerang dari penjuru kau”

Ada masa, saya rasa keseorangan, saya akan kata:
“Kalau tiada siapa faham, Allah akan faham. Kalau tiada siapa rapat, Allah akan merapat”

Kalau saya menerima kesusahan, atau berhadapan kegagalan, saya akan kata:
“Ini adalah pengajaran, Allah nak ajar aku”

Masa saya tersilap, jatuh tersungkur, saya sering berkata:
“Hilal, manusia yang terbaik adalah manusia yang apabila dia jatuh, dia akan berusaha pantas menaikkan dirinya kembali”

Masa saya putus asa dengan diri saya, saya sering mengingatkan diri saya:
“Allah tidak berputus asa dengan kau, kenapa kau memutuskan harapan untuk diri kau sendiri?”

Hari-hari saya dihina dan direndah-rendahkan, saya akan kata:
“Biar kesusahan hari ini, dibayar dengan kejayaan hari nanti. Mereka akan melihat, betapa aku ini adalah orang yang tinggi”

Saat-saat teringat akan kisah lalu yang memalukan, menyedihkan, menyayat hati, saya akan berkata:
“Benda itu, tidak akan berulang pada diri aku, mahupun orang sekeliling aku”

Hari-hari saya tidak dikasihi manusia, dibenci dan dikeji-keji, saya akan berkata:
“Tidak mengapa, mereka tidak memahami”

Masa saya melihat, apa yang saya hendak capai itu susah, dan agak mustahil, saya akan berkata:
“Aku ini bersama kekuatan yang mampu merealitikan kemustahilan”

Saat-saat saya amat penat dan keletihan, saya akan berkata:
“Inilah dia kelemahan seorang Hilal Asyraf, moga-moga dia beringat” Sambil tersenyum.

Pernah apabila saya seakan-akan membenci diri ini, membenci kehidupan ini, saya berkata:
“Allah memberikan kehidupan sebegini, peluang sebegini, bukan untuk kau benci-benci dan bazirkan”

Pernah syaitan berbisik untuk berputus asa sahaja, saya mengingatkan:
“Adakah aku hendak mengikuti syaitan yang tidak tahan dengan ujian lantas dilempar keluar?”

Saya bukan malaikat, jauh sekali nak hebat macam Rasulullah SAW, tidak tercapai pun peringkat sahabat-sahabat, peringkat tabi’in pun mungkin dalam igauan. Saya manusia biasa biasa sahaja. Sama macam semua orang, sama macam semua orang.
Cuma pada saya, ada satu keyakinan yang tidak berbelah bahagi, bahawa saya ini hamba Allah SWT. Allah SWT itu, adalah Yang Tidak Pernah Menzalimi, Dia pula Yang Maha Menyayangi, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Pengampun, Yang Maha Pemberi Rezeki. Maka, dengan keyakinan ini, saya tidak rasa kehidupan saya boleh saya bazirkan hanya kerana diduga beberapa perkara, hanya kerana disusahkan dengan beberapa benda, hanya kerana dihina oleh beberapa orang.

Saya hanya perlu bertahan melalui kehidupan saya ini, sebagai mana kaum muslimin yang dibakar di dalam peristiwa Ashabul Ukhdud. Mereka bertahan dengan keyakinan mereka apabila dibakar, kemudian Allah membakar sesiapa yang membakar mereka di akhirat. Saya hanya perlu bertahan melalui apa sahaja halangan di atas dunia ini, nanti Allah akan merungkai semua halangan, memberikan semua balasan, membayar semua perjuangan di akhirat nanti.

Maka, saya perlu sentiasa katakan pada diri saya: Sabar, sabar, sabar.
Umur saya bukan semakin hari semakin panjang. Semakin hari, umur saya semakin pendek. Maka saya hanya perlu bersabar, dan berusaha. Hari-hari untuk dipanggil pergi semakin dekat. Mustahil saya hendak pergi dalam keadaan rosak. Saya mesti hendak kembali dalam keadaan sesempurna mungkin.

Maka, apa sahaja berlaku, saya memotivasikan diri saya untuk bertahan.
Bertahan, bertahan, bertahan.

Kalau semangat itu senjata, keyakinan itu perisai, maka senjata dan perisai saya itu tidak akan sesekali saya letakkan.

Tak akan sesekali.
Itu, yang membuatkan saya terus berdiri hari ini.

KHABBAB AL-ARAT

Khabbab Al Arat adalah seorang sahabat yang telah mengalami penderitaan kerana mempertahan Iman dan Islamnya . Belakangnya meninggalkan parut yang sangat hodoh akibat dikelar dan disalai jasadnya di atas bara api oleh kuffar Quraisy .

Suatu hari , Khabbab bertemu Nabi saw sedang Baginda beristerehat dibawah bayangan kaabah . Lantas Khabbab sebagai seorang pejuang yang sekian lama di seksa dan memahami betapa getirnya berdepan dengan kuffar Quraisy segera bertanya kepada Nabi saw :

Apakah Tuan tidak memohon kepada Allah swt agar memberi kemenangan kepada kita ? Adakah Tuan tidak berdoa bagi pihak kita ?

Pertanyaan ringkas ini seperti membangkitkan emosi Nabi saw lantas menegaskan betapa orang - orang terdahulu sebahagian mereka berjuang sehingga digergaji kepalanya dan dibelah dua jasadnya . Bahkan sebahagian mereka disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap bersama Iman dan Islam.

Nabi saw menggambarkan betapa sakit dan seksanya orang - orang yang terdahulu dalam mempertahankan Islam . Biarpun sebesar mana mehnah dan ibtila' yang mereka hadapi , tidak menjadikan mereka berpaling dari perjuangan Islam yang suci ini .

Seterusnya Nabi saw meyakinkan Khabbab Rha. bahawa Demi Sesungguhnya Allah swt pasti akan menyempurnakan agama ini dengan lahirnya pejuang yang sanggup berkorban dan bergadai nyawa . Sehingga dunia menjadi aman dari sebarang ketakutan melainkan hanya takut kepada Allah swt Tuhan yang Maha gagah lagi Maha Perkasa . Malangnya kamu terlalu gopoh !

Cubalah kita bayangkan , Insan sehebat Khabbab Al Arat pula telah berjaya melepasi ujian penderitaan serta penyiksaan yang dahsyat masih dianggap gopoh oleh Nabi saw. apabila bertanya apakah nabi saw , Apakah Baginda tidak memohon kejayaan atau kemenangan bagi pihak Islam dan ummatnya

Bagaimana kedudukan kita hari ini ? saban waktu asyik bertanya bila nak menang sedang kita belum menempuh ujian kelayakan untuk menggapai kemenangan yang pasti terlalu mahal harganya ?

Lebih malang sebahagian kita hanya leka bertanya bila nak menang , kenapa kita tidak menang lagi dan sebagainya tetapi dia sendiri berpeluh tubuh tanpa mengerah tenaga untuk merencana sebuah kemenangan . hanya mampu mengkritik hasil kerja orang lain tetapi tidak menginsafi kelemahan diri untuk diperbaiki .

Thursday, October 1, 2009

ukhwah dengan ALLAH



Kita selalu sebut ukhuwwah dengan manusia. Kita ungkapkan sukma persahabatan dalam keadaan terindah dan tertinggi bahasanya. Apa-apa sahaja berkenaan dengan ukhuwwah membuatkan manusia gembira. Asas ukhuwwah adalah cinta. Dan asas cinta adalah keimanan. Itu membuatkan manusia senang sentiasa.

Asas cinta adalah keimanan. Maka mudahnya asas ukhuwwah juga sebenarnya adalah keimanan. Kepada siapa lagi kita hendak beriman kalau bukan kepada Allah SWT? Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi, yang memberikan kita nikmat kehidupan dalam keimanan, ukhuwwah danm silaturrahim ini.

Siapakah yang merasa, ukhuwwahnya dengan manusia, punya pertalian yang kuat, dengan ukhuwwahnya dengan Allah SWT.

Ukhuwwah dengan Allah SWT?

Di sini, kita perlu duduk sebentar dan muhasabah.


“Akan kuredah lautan api, kupanjat puncak everest tertinggi, semuanya untuk dikau wahai kekasih hati”

Ada orang menyebut kata-kata ini kepada pasangannya. Ada juga yang berkata begini kepada sahabatnya. Ada juga yang melafazkan kata-kata ini kepada ibu bapanya. Namun siapakah yang melafazkan perkara ini kepada Allah SWT?

Manusia memandang ukhuwwahnya dengan manusia lain, tanpa merasakan bahawa ukhuwwahnya itu, perlu melalui Allah SWT dahulu, barulah ukhuwwahnya menjadi ukhuwwah yang benar dan kuat. Namun, kerana lemahnya manusia, tidak mampu melihat yang ghaib, dan hanya yakin pada yang nyata semata, menyebabkan manusia pantas menghubungkan dirinya dengan manusia lain, tetapi sukar membina hubungannya dengan Allah SWT.

Di sinilah keimanan memainkan peranan. Iman mampu membuatkan kita ‘merasai’ apa yang ghaib. Allah, Malaikat, Syurga, Neraka, hatta Rasul kita yang telah wafat meninggalkan kita risalah-Nya. Kita beriman dengan semua itu tanpa ragu-ragu walaupun kita tidak melihatnya. Dengan keimanan inilah sebenarnya, kita mampu membina hubungan kita dengan Allah SWT, seterusnya menjaga hubungan kita dengan manusia. Sebab itu, Allah SWT apabila membicarakan perihal persaudaraan, Allah SWT menyebut:

“Sesunggunya orang beriman(mu’min) itu bersaudara…” Ayat 10 Surah Al-Hujurat.

Allah tidak kata manusia, Allah tidak kata orang Islam semata. Allah kata, orang yang beriman.

Dalam ceramahnya pada malam 27 Ramadhan di Jordan ini, Dr Towalbeh ada menyatakan bahawa, hubungan manusia dengan Allah SWT, akan meningkatkan lagi keeratan ukhuwwah manusia dengan manusia yang lain.

Allah SWT membenci orang yang takabbur.

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”- Surah Al-Israa’ ayat 37

Dr Towalbeh menyatakan bahawa, sesiapa yang takabbur, sebenarnya dia telah memutuskan ukhuwwahnya dengan Allah SWT. Maka mari kita lihat, apakah rentetan dari ketakabburan di dalam hati manusia, kepada manusia lain. Apakah hubungan manusia dengan manusia akan menjadi baik, jika salah seorang, atau keduanya bersikap membesar-besarkan diri dan tidak mahu bertolak ansur?

Tidak. Tidak sama sekali. Apabila ukhuwwah dengan Allah rosak, jangan diceritakan pula ukhuwwah yang benar dan bersih sesama manusia.

Dr Towalbeh berkata: “Sebab itulah wahai manusia, anda perlu menghayati ibadah zakah. Zakah adalah manifestasi ukhuwwah yang tertinggi. Bayangkan anda memberikan duit anda, untuk diterima oleh saudara seakidah anda, tanpa anda mengenali penerimanya. Siapakah yang memampukan anda untuk berbuat sedemikian rupa? Allah. Keimanan anda kepada Allah, dengan merasakan zakat adalah tanggungjawab anda kepada Allah yang perlu anda langsaikan, menyebabkan anda bergerak mengeluarkan harta anda untuk saudara anda yang tidak anda kenali. Bukankah ini ukhuwwah yang tertinggi? Ukhuwwah anda dengan Allah, menggerakkan anda berhubungan, memberi bantuan kepada manusia yang lain. Maka manusia, apakah anda melakukan ibadah zakat anda? Ketahuilah di dalam zakat ada makna ukhuwwah yang besar. Janganlah sesekali anda menganggap ianya hanya ibadah Ramadhaniah semata-mata”

Dr Towalbeh juga menyatakan bahawa, manusia-manusia yang tamak turut merosakkan ukhuwwahnya dengan Allah SWT. Apakah kehidupan orang yang tamak? Berbaik-baikkah dia dengan manusia lain? Tidak. Tetapi orang yang tamak, hidupnya penuh hasad dan dengki. Dia ingin mengaut keuntungan dan keuntungan lagi. Akhirnya orang yang tamak ini, merosakkan silaturrahimnya dengan manusia lain, untuk mendapat keuntungan. Disabotajnya perniagaan orang lain dan dimusnahkan pula kehidupan orang lain hanya untuk memuaskan dirinya.

Di sini, kita dapat melihat betapa ukhuwwah manusia dengan Allah SWT, merupakan jambatan kepada hubungan yang tulus dan ikhlas antara manusia dengan manusia yang lain.

Mustahil untuk manusia yang benar-benar merasakan keterikatan dirinya dengan Allah SWT, untuk mengkhianati saudara seIslamnya. Mustahil untuk manusia yang benar-benar faham akan hubungannya dengan Allah SWT, untuk menjauhkan saudaranya dari kehidupannya. Kerna manusia yang berhubungan dengan Allah, dia faham bahawa hubungannya dengan manusia lain adalah amanah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” Surah Al-Anfal ayat 27.

Maka bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Bagaimana ukhuwwah kita dengan Dia?

Pernahkah kita terfikir betapa kita ini memerlukan segala-galanya daripada Dia?

Andai kalau nak projek, kita perlu merapati yang berkuasa, kenapa bila kita hendakkan sesuatu dalam kehidupan ini, kita tidak meminta kepada Yang Mempunyai Segala-galanya? Adalah amat menjelekkan kita mampu melukut pada manusia yang tidak mempunyai apa-apa, tetapi kita tidak tunduk dan meminta kepada Allah Yang Memegang dan Mencipta Segala-gala. Dari hubungan dengan Allah lah, datangnya kejayaan hakiki, datangnya kebahagiaan suci, datangnya hubungan yang terbina dengan keikhlasan sepenuh hati.

Ukhuwwah anda dengan Allah SWT. Bagaimana?

Motivasi dari: Hilal Asyraf

>>> sedikit komentar tentang tajuk kali ini

Ukhwah dengan ALLAH, pada sy ia sinonim dengan(HabilumminaALLAH, Habilumminannas: Jaga hubungan dengan ALLAH, Jaga hubungan dengan manusia). Bila mana kita menjaga hubungan dengan ALLAH, insyaAllah kasih sayang manusia itu akan datang kepada kita. Tapi janganlah salah niat pulak, kita nk jg hubungan dengan ALLAH sebab nk org sayang kita. Janganlah begitu, itu adalah hadiah buat kita dari Allah swt.Cukuplah ALLAH bagi kita..cintaNya sangat manis dan membuatkan kita bahagia jika ia hadir dalam diri kita. Wahai hamba-hamba Allah, Kita hidup ini untuk mencari cinta Ilahi dan mencari RedhaNya, kita nk jg hubungan dengan manusia jg untuk mencari redhaNya..
Carilah cinta Nya dlm kembara hidup kita yg semakin hampir kepada negeri akhirat yg kekal abadi..Moga kalian berjaya menjadi Hamba yg dikasihi Allah..

Friday, August 28, 2009

SAHABAT YANG TERINDAH
























SAHABAT YANG TERINDAH...

Siapakah yang menjadi sahabat terindah kepada sahabatnya? Hidup manusia memerlukan sahabat. Pada saya, saya pun memerlukan sahabat. Bergerak dalam kehidupan yang penuh liku ini, sahabat memang antara faktor kenapa diri mampu untuk terus tabah.

Senyuman mereka, tawa mereka, kadangkala menjadi antara inspirasi saya. Kadangkala, kata-kata mereka yang pendek pun dianggap bermakna untuk saya.

Pada saya, sahabat itu tidak dihubungkan dengan harta, wajah rupa mahupun apa sahaja perkara materialisma dunia.


Tetapi pada saya, yang digelar sahabat itu, adalah yang dihubungkan dengan kasih sayang. Kasih sayang itu, bersumberkan satu punca. Punca itu adalah keimanan kepada Allah SWT. Sahabat yang hadir dari sumber itu adalah sahabat yang terindah. Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara…” Surah Al-Hujurat ayat 10.
Melihat ayat ini, keimanan itu adalah punca utama persaudaraan. Bagi manusia yang memahami ayat ini, maka dia akan mencintai sahabatnya, seperti mana dia mencintai dirinya. Hal ukhuwwah berkait rapat dengan keimanan ini, ditegaskan pula oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda:
Tidak beriman seseorang kamu, selagi mana dia tidak mencintai sahabatnya, sebagaimana dia mencintai dirinya”

Sekali lagi, keimanan itu dikaitkan dengan ukhuwwah, kasih sayang antara sahabat. Hanya manusia yang bersih keimanannya sahaja, akan mampu menjaga sahabatnya seperti mana dia menjaga dirinya. Hal ini kerana, persahabatan itu akan ada dugaannya, akan ada cabarannya. Sampai satu masa, kita akan perlu melakukan pengorbanan. Pengorbanan, tidak akan mampu dilakukan, melainkan apabila kita benar-benar beriman dengan apa yang Allah SWT janjikan, dan apa yang Rasulullah SAW ajarkan.
Sahabat yang berjaya menghayati keimanan inilah sahabat yang terindah. Saya, tidak dapat mengukur keimanan orang lain. Tetapi saya dapat merasakan kehangatan sahabat saya. Saya dapat merasakan, saya ada beberapa orang dalam hidup ini, mereka adalah sahabat terindah saya. Kalau hendak disebut, mungkin terlalu ramai.
Tapi, apa yang hendak saya katakan di sini, hendak menyedari bahawa sahabat itu adalah sahabat terindah, bukan mudah. Pelbagai halangan, cabaran perlu dihadapi. Kadangkala berulang kali berselisih faham, kadangkala beberapa kali bermasam muka. Namun, kalau benar ukhuwwah itu dibina atas dasar iman, maka ia akan kembali semula bersatu. Carik-carik bulu ayam, akhirnya tercantum semula. Kerna jika iman itu benar, ia akan menjadi seperti magnet, membuang segala rasa buruk di dalam hati, meringankan diri untuk meminta maaf dan memaafkan.
Ada orang menyangka, selisih faham, masam muka adalah keburukan. Itu tanda ukhuwwah tidak kuat.
Ya. Dari satu segi. Memang itu semua keburukan.
Tetapi, sedar atau tidak, itu adalah satu tapisan, ujian daripada Allah SWT. Ujian untuk menguji sejauh mana kebenaran ukhuwwah yang dibina di atas dasar iman itu. Apabila kita berjaya melepasi segala dugaan dan cabaran itu, barulah kita akan menyedari, betapa indahnya apabila iman itu menjadi perlembagaan persahabatan kita, barulah kita akan nampak bahawa, sahabat kita itu adalah sahabat yang terindah. Sebab itu, apabila kita melalui ujian-ujian ukhuwwah, kita perlu muhasabah diri kita terlebih dahulu. Jangan lihat pada sahabat kita. Lihat apa kurang dengan diri kita, apa silap yang kita dah lakukan, apa keburukan yang telah kita buat pada sahabat kita. Kalau benar iman menjadi perlembagaan ukhuwwah, maka kita akan berlapang dada, senang memaafkan. Kita akan berani, tabah meminta maaf tanpa rasa segan.
Namun, siapa yang melihat dirinya terlebih dahulu sebelum dia menilai sahabatnya?
Sebab itu, saya teringat akan kata-kata pensyarah saya ketika dia menyampaikan khutbah:
“Apabila kebaikan kita tidak dibalas oleh sahabat kita, maka janganlah kita mencacinya. Hal ini kerana, kebaikan kita kepadanya, adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Manakala kebaikannya kepada kita, adalah urusan dia dengan Allah SWT. Kita melaksanakan tanggungjawab kita”

Siapa yang nampak, kebaikannya kepada sahabatnya, adalah tanggungjawab dia kepada Allah SWT?
Hanya orang beriman sahaja yang boleh melihat perkara ini.
Sabda Rasulullah SAW, yang mafhumnya:
“Kamu tidak akan masuk syurga selagi mana kamu tidak beriman, kamu tidak akan beriman selagi mana kamu tidak berkasih sayang…”
Siapa pula yang berusaha menjadikan dirinya sebagai sahabat terindah kepada sahabatnya?
Sama-samalah kita fikirkan...
>>>>Perkongisan ini adalah untuk sahabat2ku: Nisa Shah Alam yang disayangi, noni sahabatku dan dll yang mengenaliku...
Sumber: http://ms.langitilahi.com/ ( hilal Asyraf )

Wednesday, April 2, 2008

~ANTARA 2 CINTA~